Khamis, 24 Januari 2013

Kejadian yang tidak diduga di waktu Subuh.

Pagi pukul 5 lebih, seorang lelaki berpakaian merah dan berseluar jeans bermotosikal ke rumah  Tok Sidang Permatang Guntung. Dia memarkirkan kenderaannya di sebuah bangsal yang terbuka. Rokok di tangan disua ke mulut. Dia menghirup perlahan asap lalu ditarik masuk ke ruangan peparu. Asap putih berkepul keluar dari lubang mulut dan hidungnya. Dia memerhatikan banglo Tok Sidang dengan pandangan yang tajam. Banglo tersebut mempunyai beranda hadapan yang bertembok rendah yang mengelilingi kiri dan kanan beranda dan terbuka di bahagian hadapannya. Banglo tersebut turut mempunyai sebuah kawasan parking di mana silingnya rata dan tidak berjubin. Pandangannya menjurus ke tingkat atas. Dua buah tingkap terbuka separa penuh. Dia menanggalkan seliparnya berhampiran kawasan pagar. Perlahan-lahan langkahnya diatur ke banglo mewah itu. Dia pergi ke arah tingkap. Sebelum ini dia pernah cuba memasuki kediaman tersebut menerusi tingkap yang tidak berjeriji tetapi malang nasibnya tingkap tersebut telah dipalang. Beliau cuba membuka pintu tetapi tertutup rapat. Dia kemudiannya memerhatikan siling parking. Dia mendapat satu idea. Dia memanjat tembok di beranda dan menggapai penjuru siling. Akan tetapi seluar jeans yang dipakainya menyukarkan pergerakan dia lalu dia menanggalkan seluarnya dan meninggalkannya di sisi tembok dalam beranda. Sekali lagi dia cuba memanjat dari situ. Usahanya berjaya.

Bersusah payah dia memanjat dan akhirnya dia masuk ke dalam kediaman menerusi tingkap yang terbuka di bahagian atas. Perlahan-lahan dia bergerak. Tangga dituruni dengan perlahan-lahan kerana ia agak berbunyi sedikit. Di bahagian tingkat bawah, Dia mencapai duit RM 50 yang berada di atas meja. Hatinya berdebar-debar dan beliau membuka pintu hadapan agar pergerakan keluarnya selamat. Matanya galak memandang sekeliling ruang tamu dalam usahanya mencuri apa sahaja barangan yang berharga. Dia mencabut plug notebook dari soket dan mengepit notebook tersebut beserta chargernya di pegangan tangan dan mengambil duit RM 180 dari sebuah dompet. Tanpa sedar Dia telah terambil rotate moto yang terselit sekali di dalam dompet itu.

Kemudian, Dia masuk ke dalam sebuah bilik yang bertentangan dengan ruang tamu. Dia terlihat sesuatu yang sangat berharga iaitu Blackberry. Seorang pemuda sedang tidur di katilnya. Ketika itu, azan sedang berkumandang di udara. Dia berjaya mencapai BB tersebut. Ditakdirkan Allah S.W.T, pemuda yang sedang tidur itu terjaga dari mimpinya. Si pencuri bergegas melarikan diri. Pemuda tadi menjerit ke arahnya sambil mengejar dengan larian yang deras. Si pencuri sangat ketakutan dan mencampakkan laptop beserta chargernya ke tanah. Si pencuri berlari merentasi jalan raya. Dia nampak si pemuda tadi tidak lagi mengejarnya. Akan tetapi langkahnya tidak berhenti di situ. Dia berlari merentasi padang dan masuk ke celah-celah semak belukar. Dia terjumpa sebuah basikal yang disandarkan di dinding rumah. Dia mengambil basikal itu untuk melarikan diri. Dia tahu si pemuda tadi pasti akan mencarinya.

Di pihak si pemuda tadi, setelah berhenti mengejar si pencuri dia mencari objek yang dicampakkan pencuri tersebut ke tanah. Dia terjumpa charger dan membawa ia masuk ke rumah. Si pemuda menghebahkan berita rumah mereka telah dimasuki pencuri kepada ahli keluarga yang telah bangun.  Dia lantas menyarung baju dan seluar jeans, kemudian menghidupkan motosikal dan menjejaki langkah sang pencuri. Beliau menunggang motornya dengan laju sekali sehingga melanggar lopak-lopak yang dalam membuatkan motornya melambung. Akan tetapi beliau tidak berhenti di situ saja, si pemuda masuk ke ceruk kampung tapi tiada kelibat pencuri kelihatan. Si pemuda pulang ke kediamannya dengan perasaan hampa dan menjumpai notebook milik ibunya tersadai di tepi jalan tidak jauh dari kawasan charger ditemui. Dia mengambil notebook tersebut dengan helaian baju yang dilipat ke atas. Konon2nya untuk mengekalkan cap jari.

Sekembalinya beliau ke rumah, adik beliau mendail nombor kecemasan 999 dan membuat laporan polis. Si pemuda pergi ke balai dengan diiringi ayahnya untuk membuat laporan bertulis. Dalam kekalutan pencuri menyelamatkan diri dia tertinggal motosikal, seluar jeans dan kasut selipar miliknya. Bahan-bahan tersebut diklasifikasikan sebagai bahan bukti dan diambil oleh pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut. Setelah pemergian pegawai polis, Si pemuda kemudian membuka komputer peribadinya dan menulis posting ini.

Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anonymous tidak diberikan izin untuk memberi komen. Aku tak nak menggalakkan budaya trolling dan tidak gentleman dalam mengutarakan komen.